Monday 18 March 2024

LOMPAT TIKAM TERENGGANU

 
Nama kuih lompat tikam sinonim dengan rakyat Kelantan dan Terengganu. Tetapi ada perbezaan antara lompat tikam Kelantan dan lompat tikam Terengganu.  

Pembuatan dan kandungan lompat tikam Terengganu lebih ringkas berbanding lompat tikam Kelantan biarpun kedua-duanya dimakan bersama-sama cecair manisan gula melaka. Manisan gula melaka menghasilkan rasa lemak manis yang seimbang.

Bahan asas membuat lompat tikam Terengganu adalah tepung beras untuk menghasilkan lapisan pertama dan kedua dengan ditambah perasa daun pandan bagi memberi warna kehijauan.

Bahan untuk membuat kedua-dua lapisan adalah sama, kecuali untuk lapisan hijau yang dilebihkan penggunaan daun pandan. Ada juga pembuat yang membuat perbezaan dengan menggunakan tepung jagung sebagai tambahan. Bahagian hijau juga ditambah dengan air kapur untuk lebih kenyal, memberi tekstur berbeza antara kedua-duanya.

Perbezaan dengan lompat tikam Kelantan ialah bahagian putih adalah campuran santan dimasak bersama-sama dengan tepung beras atau tepung jagung. Sebab itu ia dalam keadaan likat dan bukannya ketul.

Satu perbezaan ketara ialah lompat tikam Kelantan (gambar bawah) disertakan dengan pulut merah.