Sunday, 26 November 2017

ISLAM DAN PARTI


Sesungguhnya terdapat perbezaan amat ketara antara Islam dengan parti politik.  Jadi tidak mungkin ada parti politik yang dapat berperanan sebagai parti untuk umat Islam.  Islam tidak mengasing-asingkan umatnya berdasarkan parti politik.  Islam mengajak manusia mementingkan perpaduan dan mengelak persengketaan.      

Allah SWT menurunkan Islam untuk seluruh manusia tanpa mengira batasan geografi, pemerintahan, bangsa dan budaya.  Sedangkan parti politik hanya untuk sesiapa yang mendaftar sebagai ahlinya.  Keahliannya terbuka kepada penduduk di sesuatu kawasan sahaja.  Tidak ada satupun parti politik yang melangkaui kawasan negara, walaupun ada cawangan atau kelab di luar negara.

Semua parti politik terikat kepada perlembagaan yang dibuat oleh manusia.  Tetapi, Islam sepenuhnya diturunkan Allah SWT kepada manusia. Manusia tidak terlibat dalam merangka atau menentukan peraturan berkaitan agama. 

Sesungguhnya, tidak akan terjadi apa yang dibuat oleh manusia akan menyamai apa diturunkan Allah SWT.  Sebab itu, setiap parti politik mempunyai banyak kelemahan sesuai dengan kekurangan manusia yang menubuhkan parti politik.

Apa yang jelas, perjuangan politik berdasarkan kepada kepentingan parti mengikut matlamat yang ditetapkan.  Setiap parti politik mempunyai perlembagaan yang berbeza.  Mereka bebas mengubah perlembagaan parti jika mendapat persetujuan majoriti ahli.

Malah, dengan persetujuan ahli, parti politik boleh bergabung dengan parti lain atau mungkin juga dibubar.  Perkara ini jauh berbeza dengan Islam yang tidak pernah bergabung dengan mana-mana ajaran atau agama lain.

Sesungguhnya, Islam memperjuangakan kepentingan sejagat.  Islam tidak memperjuangan kepentingan kelompok.  Islam adalah universal dan hukum yang ditetapkan dalam Islam tidak sekali-kali dapat diubah atau ditukar-tukar mengikut selera kelompok tertentu sahaja.  Seluruh umat Islam menggunakan sumber hukum yang sama iaitu dari al-Quran, hadis dan keputusan bersama para ulama.  

Perpaduan Islam menyeru kepada kesatuan dan tidak boleh memulau mana-mana individu Islam.  Tetapi amalan parti membolehkan seseorang disekat menjadi ahli atau dibuang menjadi ahli jika tidak mematuhi peraturan parti. 

Peraturan itu samalah seperti melarang individu atau kumpulan lain daripada bersama-sama berjuang menegakkan agama Islam (berdasarkan apa yang didakwa).  Sesiapa melarang orang berjuang di jalan Allah SWT, bermakna menentang Allah SWT. 

Jika keislaman ditentukan dengan parti politik, bagaimana nasib orang yang ditolak dan dibuang daripada parti politik Islam?  Apakah keislaman ditentukan oleh pemimpin politik? Apakah orang yang tidak menyertai parti Islam bermakna dia tidak Islam? 

No comments:

Post a Comment