Monday 20 November 2017

USIA MUDA MASA CARI REZEKI

Keinginan menikmati kesenangan lahir dari fitrah manusia sebagai tindak balas spontan berdasarkan kepada keperluan rohani dan jasmani. Islam menekankan kepada perlumbaan mencari rezeki supaya lahir golongan yang berbeza tingkat kekayaan dalam masyarakat yang memberi kebaikan dan tolong menolong antara satu sama lain.   

Firman Allah bermaksud: “Dan Allah telah melebihkan rezeki seseorang dari yang lain.” (Surah an-Nahl, ayat 71).

Individu yang telah mencapai usia mampu bekerja (dalam konteks undang-undang usia 18 tahun dan ke atas dikira layak bekerja) perlu segera bekerja untuk menampung keperluan sendiri. 

Jika telah meninggalkan bangku sekolah lebih awal disebabkan kandas atau halangan lain, elok terus bekerja mengikut kesesuaian kelulusan. Mereka yang bekerja mencari rezeki dipandang mulia sebagai tanda sikap bertanggungjawab. Seseorang tidak harus malu untuk melakukan pekerjaan yang dianggap kelas rendah di mata masyarakat. Sesungguhnya, mencari rezeki yang halal adalah lebih penting berbanding melihat taraf pekerjaan.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak makan seorang itu sebarang makanan pun lebih baik daripada dia memakan makanan daripada hasil tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud mengambil makanan dari usaha tangannya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)

Keikhlasan dan rasa bertanggungjawab penting untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan kerana itu yang akan dinilai menentukan kedudukan maruah seseorang. Orang berjawatan tinggi yang terlibat menerima rasuah adalah lebih hina daripada seorang berjawatan kuli yang melaksanakan tugas dengan baik.

Islam amat menggalakkan umatnya menjadi kaya dan keluar dari kemiskinan. Setiap pekerja mesti menetapkan satu tahap kecekapan yang tinggi untuk mencapai apa yang dikehendaki.

Kekayaan tidak datang dengan sendirinya seperti kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang. Justeru, setiap pekerja mesti gigih mencari rezeki untuk mendapat kekayaan yang lebih dan buang sikap malas yang menjadi menghalang kejayaan hidup.

Golongan muda berpeluang yang terbuka luas untuk mencari sebanyak mungkin kekayaan dan kejayaan memandangkan tenaga masih kuat serta semangat yang sentiasa membara. Sikap sesetengah golongan muda yang lebih suka menghabiskan masa bersukaria perlu dihentikan kerana pada umur muda inilah perlu dipergunakan untuk mengorak langkah menuju kejayaan.   

Rasulullah pernah mengingatkan golongan muda agar menggunakan kesempatan umur muda sebelum sampai umur tua. Kelebihan ketika muda perlu dimanfaatkan untuk memulakan usaha mencari rezeki.     

Banyak individu yang berjaya sebenarnya berusaha dari usia muda dan hanya mencapainya selepas umur 40 tahun atau kira-kira 20 tahun selepas berusaha. Bahkan ada yang hanya mencapai kejayaan setelah usia melepasi 50 tahun. 

No comments:

Post a Comment